Wednesday, April 15, 2009

KFA berat hati lepas Azraai


ALOR SETAR - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mungkin boleh memikirkan nama lain bagi calon jurulatih skuad bola sepak kebangsaan kerana majikan ketua jurulatih skuad Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah semalam mengakui keberatan untuk melepaskannya.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, pihaknya berat hati untuk melepaskan Mohd. Azraai selepas ketua jurulatih skuad bola sepak Sang Kenari itu telah lama menabur bakti termasuk membawa skuad Hijau Kuning muncul juara treble berganda.

Bagaimanapun, katanya, KFA sedia mengadakan perbincangan jika FAM benar-benar ingin melamar Mohd. Azraai yang kontraknya akan berakhir dengan persatuan itu pada hujung tahun ini.

"Memanglah (berat hati).... dia sudah lama duduk sini (melatih pasukan Kedah).

"Kita 'bela' sampai hebat orang nak ambil mana boleh, tunggu dulu tengok," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini semalam.

Beliau yang juga merupakan Menteri Besar Kedah ditanya sama ada KFA sedia melepaskan Mohd. Azraai jika FAM melamarnya sebagai jurulatih skuad bola sepak negara yang baru.

Utusan Malaysia melalui laporan Bernama kelmarin menyiarkan bahawa Mohd. Azraai mungkin merupakan calon tunggal FAM bagi mengisi jawatan tersebut.

Ini kerana dua lagi nama jurulatih yang disebut-sebut iaitu K. Devan (Selangor) dan Dollah Salleh (Shahzan Muda) untuk mengisi jawatan itu belum menerima tawaran secara rasmi atau tidak daripada FAM.

Mohd. Azraai pula dilaporkan telah menerima panggilan daripada FAM berhubung perkara itu dan bersedia untuk menggalas tanggungjawab selaku jurulatih kebangsaan. Beliau bagaimanapun tidak memberikan sebarang keputusan kerana masih mempunyai kontrak dengan KFA.

Dalam pada itu, Azizan memberitahu, sehingga kini FAM masih belum menghubungi KFA berhubung perkara berkenaan. 16 April 2009

No comments:

Post a Comment