Monday, April 20, 2009

Syabas kepada Rajagobal, lupakan impian bawa masuk Scolari


TERKEJUT tetapi syabas kepada K. Rajagobal yang dilantik sebagai ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan yang baru.

Penulis memang mengenali Rajagobal semasa beliau membimbing skuad Kelantan selepas membawa gelaran juara liga kepada Selangor pada 2000.

Beliau yang pernah menjadi penolong jurulatih kebangsaan kepada Ken Worden pada 1993 mempunyai ciri-ciri seorang yang tegas di padang tetapi mesra dan merendah diri di luar padang.

Pelantikan Rajagobal, semalam sekali gus menutup segala isu siapa jurulatih skuad kebangsaan yang sekian lama dinantikan dan hangat diperkatakan di kalangan peminat.

Mengembalikan semula maruah skuad negara dan membina semula keyakinan peminat adalah tanggungjawab besar di bahu Rajagobal.

Malah, penulis percaya Rajagobal sendiri maklum dengan budaya orang kita yang tidak akan duduk diam jika ada yang tidak kena dengan prestasi skuad bola sepak negara.

Dalam hal ini, kita tidak boleh salahkan peminat-peminat ini kerana itu adalah hak mereka untuk bersuara dan meluahkan pandangan.

Tapi, janganlah itu melemahkan semangat, malah Rajagobal perlu tabah dan yakin sebagaimana beliau menggilap kegarangan Harimau Muda.

Bercerita tentang jurulatih kebangsaan, teringat penulis kepada seorang rakan lama menanyakan hal yang sama beberapa hari lalu.

Lebih menarik, rakan penulis ini mengutarakan pandangannya tentang bekas jurulatih Chelsea, Luiz Felipe Scolari.

''Mengapa FAM tidak mahu mengambil bekas jurulatih Chelsea, Luiz Felipe Scolari. Kita pernah ambil Claude Le Roy dari Perancis yang pernah bawa Cameroon ke Piala Dunia. Apa bezanya Scolari.

''Ya! Bayaran upahnya tentunya tinggi tetapi berfikir jauh. Kalau nak buat perubahan kita buat betul-betul. Biar mahal asalkan kesannya positif. Kalau nak beraksi di Piala Dunia dan nak perubahan, kenalah berani. Inilah masanya.''

Itu kata rakan penulis tetapi penulis tetap menaruh keyakinan tinggi, FAM mempunyai perancangan tersendiri dan alasan konkrit tentang perkara ini.

Jika difikirkan mendalam dan jangka panjang, betul juga kata rakan penulis. Kalau mahu perubahan kena ada tindakan berani, apatah lagi rekod Scolari baik di arena antarabangsa, pernah membawa Brazil dua kali menjulang Piala Dunia.

Dari segi faedah jangka panjang, bayangkan bentuk pembangunan kejurulatihan yang boleh dirangka daripada jurulatih berpengalaman itu.

Hujah penulis bukan bermakna penulis menafikan kehebatan dan hak jurulatih tempatan kerana sembang-sembang kosong itu berlaku ketika jurulatih kebangsaan belum diumumkan lagi.

Apa pun, peminat bola sepak tempatan wajar memberi ruang kepada Rajagobal merencanakan perancangannya untuk skuad negara.

Rajagobal seorang jurulatih yang strategis dan beliau tahu apa yang dimahukan dalam skuad kebangsaan.

Beri beliau masa dan semangat kerana mana-mana jurulatih hebat sekali pun, mahupun Scolari tidak akan dapat mengubah sebuah pasukan bola sepak menjadi hebat sekelip mata.

Kita di luar tunggu dan lihat!(Utusan 21 April)

No comments:

Post a Comment