Tuesday, April 14, 2009

Mohd. Azraai calon tunggal FAM?


KUALA LUMPUR - Jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah mungkin merupakan calon tunggal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengisi jawatan jurulatih kebangsaan.

Ini kerana dua lagi nama jurulatih yang disebut-sebut iaitu K. Devan (Selangor) dan Dollah Salleh (Shahzan Muda) untuk mengisi jawatan itu belum menerima tawaran secara rasmi atau tidak daripada FAM.

Azraai pula dilaporkan telah menerima panggilan daripada FAM berhubung perkara itu dan bersedia untuk menggalas tanggungjawab selaku jurulatih kebangsaan.

Jurulatih yang membimbing Kedah menjuarai tiga kejohanan (Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Super) dua musim berturut-turut pada 2007 dan 2008 itu bagaimanapun tidak memberikan sebarang keputusan kerana masih mempunyai kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Kedah.

Dalam pada itu, Devan ketika dihubungi Bernama berkata fokusnya kini adalah untuk membimbing pasukan Selangor pada saingan Liga Super yang baru dipimpinnya awal musim ini.

"Jika ditawarkan jawatan itu, saya bukannya menolak bulat-bulat tapi masih memerlukan masa sekurang-kurangnya dua tahun bagi mencari dan menambah pengalaman," katanya yang membimbing Kuala Muda Naza menjuarai Liga Perdana pada musim lepas.

Sementara itu, Dollah yang kini membimbing pasukan berstatus kelab yang berpangkalan di Pahang, Shahzan Muda, turut mengesahkan tidak ada menerima sebarang tawaran daripada FAM berhubung jawatan itu.

"Saya cuma mengetahui perkembangan mengenai jurulatih kebangsaan melalui akhbar sahaja tapi saya kini tetap memberi tumpuan kepada Shahzan Muda," kata jurulatih berusia 46 tahun yang pernah membimbing Selangor memenangi tiga piala pada 2005 iaitu Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Perdana.

Sabtu lepas, Timbalan Presiden FAM, Datuk Redzuan Tan Sri Sheikh Ahmad berkata, pelantikan jurulatih kebangsaan mungkin akan dibuat dalam tempoh masa dua minggu kerana beberapa perkara perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Beliau berkata, calon jurulatih berkenaan pernah membawa kejayaan kepada pasukan yang dibimbingnya dan FAM masih berunding dengan persatuan negeri terbabit.

Jawatan jurulatih kebangsaan kini kosong setelah FAM pada 1 Februari lepas memutuskan untuk menamatkan kontrak bekas jurulatih negara, B. Sathianathan. - BERNAMA
15 April 2009

No comments:

Post a Comment