Monday, April 13, 2009

Terengganu silap percaturan

CORAK permainan yang terlalu berhati-hati membawa padah kepada Terengganu apabila tewas 0-2 kepada Kedah dalam saingan Liga Super, malam kelmarin.

Lebih malang, kekalahan di hadapan peminat sendiri di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu turut menamatkan rekod tiga kemenangan berturut-turut pasukan tersebut.

Kekalahan itu sangat memalukan, sekali gus mengecewakan peminat setia skuad Penyu yang hadir menyaksikan perlawanan itu.

Pengurus Pasukan, Sheikh Ahmad Tajuddin Sheikh Yusof berkata, keputusan menurunkan ramai pemain tidak berpengalaman adalah antara faktor yang menyebabkan kekalahan itu.

"Corak permainan serba tidak menjadi malam ini (kelmarin) apabila pasukan mempamerkan aksi yang longlai.

"Tujuan utama kita menurunkan ramai pemain-pemain muda dalam perlawanan ini adalah untuk memberi pendedahan kepada mereka tetapi sebaliknya berlaku.

"Nampaknya mereka gagal menyaingi pasukan Kedah yang dianggap lebih berpengalaman," kata Sheikh Ahmad.

Menurut Sheikh Ahmad, peluang untuk menjaringkan gol tetap ada tetapi kesilapan yang dilakukan oleh jentera serangan telah menyentak semangat pasukan.

Selain itu strategi yang digunakan oleh pasukan lawan untuk lebih banyak bertahan telah menyukarkan peluang anak-anak buahnya menjaringkan gol.

Bagaimanapun skuad Terengganu masih berpeluang untuk mencipta kejayaan tetapi perlu memperbaiki segala kesilapan dengan kadar segera.

Katanya, gol pertama yang diperoleh Kedah adalah disebabkan kesilapan pemain pertahanan manakala gol kedua tidak dijangka hasil satu serangan balas yang pantas.

Sementara itu, jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah berkata, kemenangan ini sangat bermakna kerana ia dicatat di hadapan peminat tuan rumah.

"Berdasarkan rekod-rekod pertemuan lalu, anak-anak buah saya sangat sukar untuk mencatat kemenangan di tempat lawan.

"Jadi, saya bersyukur kerana kami berjaya menewaskan Terengganu yang ketika ini dianggap sebagai salah sebuah pasukan yang sedang meningkat naik," katanya.

Menurut Azraai, dia terpaksa menggunakan strategi bertahan dengan meletakkan lima pemain di bahagian pertahanan kerana beberapa pemain utama mengalami kecederaan.
13 April 2008

No comments:

Post a Comment