Tuesday, April 14, 2009

Pasukan Kedah mampu bangkit kembali


JIKA tidak mengenali Mohd. Azraai Khor Abdullah, mungkin ada yang akan menyangka seorang guru sekolah daripada seorang jurulatih yang mencipta kehebatan menjulang gelaran treble berganda untuk dua musim bersama skuad Kedah.

Jurulatih bercermin mata ini seorang yang tenang di luar padang tetapi kaya dengan taktik bola sepak dan sentiasa mahu menimba ilmu.

Di sebalik kejayaannya meraih gelaran juara, sehingga menimbulkan rasa 'cemburu' di kalangan jurulatih lain, dia sebenarnya percaya pasukan mudanya masih banyak perlu dipelajari.

Sememangnya benar. Tanpa pemain import untuk membantu, mungkin sukar untuk mencari kejuaraan tetapi Azraai bukanlah orang yang mudah putus asa dan membiarkan keadaan itu menjadi penghalang untuk mencapai matlamat tersebut.

Sekalipun harapan begitu tinggi musim ini untuk mempertahankan kesemua gelaran dan trofi yang dimenangi, beliau sebenarnya telah maklum dan berusaha untuk mempertahankannya.

Pasukan Kenari memulakan musim 2008/2009 agak lesu, apabila tidak konsisten dalam saingan Liga Super di samping tersingkir daripada Piala FA.

Namun, kesukaran itu sedikit demi sedikit di atasi dan kini Kedah menduduki tangga kelima, malah menetapkan tempat tiga teratas sebaik tamat saingan musim ini.

Ramai yang beranggapan, keadaan ini disebabkan ketiadaan pemain import, tetapi setahu ramai, jurulatih terbabit bukanlah seorang yang mudah mengalah.

Pada saat saya menulis artikel ini, Kedah bakal berdepan dengan kelab Eastern Athletic dari Hong Kong dalam saingan Piala AFC di Stadium Mongkok, 21 April ini dan Azraai tidaklah gusar dengan keadaan itu.

Baginya, pengalaman adalah perkara paling berharga walau apa jua keputusan sekalipun. Apa yang penting daripada pengalaman itu akan menjadikan pasukannya lebih bersedia dan matang berdepan cabaran dalam tempoh akan datang.

Bukan sukar untuk melihat jurulatih ini membina satu pasukan yang kuat pada masa hadapan walaupun beliau menerima tekanan kuat daripada peminat tempatan.

Beliau mempunyai misi tersendiri terhadap pasukan yang sedang dibinanya dan seperti jurulatih-jurulatih lain yang memberikan tumpuan kepada pemain muda.

Sungguhpun Kedah sukar untuk mengulangi kehebatan dan kejayaan dua musim lalu, tetapi saya percaya kejayaan manis itu pasti berulang kerana Azraai adalah orang yang mempunyai misi. 15 April 2009.

No comments:

Post a Comment