Friday, April 3, 2009

Kedah berdepan tugasan getir

oleh SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my
ALOR SETAR - Setelah menundukkan kesemua enam lawannya secara berturut-turut, penyandang juara Liga Super, Kedah, dijangka berdepan tugas getir untuk meneruskan rentak kemenangan apabila melayan kunjungan Kelantan di Stadium Darul Aman malam ini.

Pertembungan yang diibaratkan buku bertemu ruas itu paling menarik untuk disaksikan kerana ia melibatkan dua pasukan daripada top five yang hanya dibezakan dua mata di tangga ketiga dan kelima liga.

Jika menang, Kedah akan menghuni zon selesa dengan sekurang-kurangnya naik satu tangga ke kedudukan keempat, sekali gus mencerahkan peluang untuk mempertahankan gelaran juara Liga Super yang disandangnya sejak dua musim lalu.

Kelantan yang beraksi hambar pada perlawanan terakhirnya sehingga mengakibatkan kekecohan penonton pula perlu menang bagi mengembalikan reputasi mereka sebagai pasukan pilihan musim ini, selain mengintai posisi teraju liga seandainya Perlis dan Selangor tumpas malam ini.

Ketua jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah mengakui skuadnya bakal mengharungi tempoh 90 minit perlawanan yang sukar menentang pasukan dari Timur tanah air itu, tetapi tetap optimis untuk melakar kemenangan ketujuh berturut-turut.

"Selepas membawa pulang tiga mata dari Pahang Selasa lalu, saya melihat pemain-pemain Kedah semakin yakin dan bersemangat.

"Kami mempunyai peluang yang sama rata untuk menang dan akan menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk berusaha meraih mata penuh," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Mohd. Azraai yang bebas menurunkan mana-mana pemainnya malam ini bagaimanapun memberi amaran terutama kepada barisan pertahanannya agar tidak hilang fokus sewaktu mengekang asakan Sang Kijang.

Ini kerana, menurutnya, Kelantan memiliki peledak-peledak gol yang hebat dengan menjaringkan 26 gol daripada 10 perlawanan Liga Super.

"Barisan pertahanan Kedah tidak boleh leka dan perlu berkerja lebih keras daripada biasa kerana penyerang Kelantan berupaya menghukum mana-mana lawan jika mereka alpa," katanya.

No comments:

Post a Comment