Sunday, April 11, 2010

Ahmad pertahan Helmi


KUALA LUMPUR - Jurulatih Kedah, Ahmad Yusof mengakui pasukannya kini umpama 'gergasi yang mulai bangkit daripada lena' dan akan melupakan segera kekalahan mengecewakan menerusi penalti 5-4 dalam perlawanan akhir bola sepak Piala FA, kelmarin.

Kemuncak Liga Super dan Piala Malaysia selepas ini bakal menjadi tumpuan penuh Sang Kenari, walaupun mereka sepatutnya lebih berhak menjulang trofi persaingan kalah mati itu, sekali gus meraih tiket wakil negara ke Piala AFC 2011.

Kata bekas pemain tengah negara ini; "dari segi permainan, persembahan pasukan memang menarik sekali dan hanya keputusan (menerusi penalti selepas diikat Negeri Sembilan 1-1 sehingga 120 minit permainan), yang membuatkan saya kecewa sedikit.

"Saya harap pemain dapat melupakan Piala FA kerana minggu depan kami akan kembali ke Liga Super dan mereka wajar memberikan tumpuan semula kepadanya," katanya, yang menerajui Hijau Kuning mulai musim ini, di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin.

Ahmad turut mempertahankan kehadiran Helmi Eliza Elias sebagai pengambil penalti keenam Kedah, walaupun penjaga gol itu mampu menyudahkan perlawanan jika sepakannya tidak tersasar tinggi, setelah Asyraf Al Japri gagal menunaikan tugas buat Negeri Sembilan.

"Helmi memang dalam senarai turutan yang mengambil penalti. Bila penalti, memang kami tidak boleh cakap apa, cuma tiada tuah," katanya yang bagaimanapun mendapat sedikit penawar dengan terpilihnya pemain itu sebagai Penjaga Gol Terbaik Perlawanan Akhir Piala FA, kelmarin.

"Kami yang mengawal permainan dalam separuh masa pertama tetapi apabila masuk separuh masa kedua, permainan tampak seimbang dan masing-masing ada peluang, cuma kami yang tidak memanfaatkannya," katanya.

Ketua pasukan Kedah, Shahrulnizam Mustapa pula berkata, mereka sepasukan sudah mengerah prestasi melebihi 100 peratus, tetapi perlu menerima hakikat bahawa macam-macam boleh terjadi dalam bola sepak dan nasib ternyata memainkan peranan kelmarin.

"Apabila sampai ke penalti, peluang hendak menang itu memang bergantung kepada nasib walaupun kami bermain macam hendak 'pecah-pecah kepala' dan sudah berikan lebih seratus peratus," katanya.

Pemain Terbaik perlawanan, Baddrol Bakhtiar yang turut menyumbat gol pendahuluan yang cantik menerusi lambungan hasil umpanan Syafiq Jamal pada minit ke-27, berkata, "anugerah ini satu hadiah kepada pasukan Kedah yang berjuang habis-habisan malam ini.

"Kami tewas dengan sepakan penalti dan kami menerima kekalahan pada malam ini. Kedah menurunkan barisan pemain muda malah walaupun tanpa import (seperti bergelar juara 2007 dan 2008), pencapaian kami begitu drastik dan kami masih boleh bermain begitu baik dan bersungguh-sungguh.

"Kami sudah mendapat sentuhan semula dan yakin dengan taktik jurulatih sejak pertengahan musim dan sasaran kami selepas ini ialah ke perlawanan akhir Piala Malaysia pula.

"Saya bebas menjaringkan gol kerana sebelum ini agak susah bergerak dari sayap dan lebih banyak membantu penyerang.i,'' katanya. UTUSAN 12 April

No comments:

Post a Comment