Friday, April 9, 2010

Wan Jamak tidak mahu penalti jadi penentu

KUALA LUMPUR - Jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan mahu perlawanan akhir Piala FA menentang Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini, ditentukan dalam tempoh 90 minit permainan.

Katanya, kemeriahan sebenar sesuatu perlawanan akhir ialah apabila keputusan dapat ditentukan dalam masa sebenar.

Jelasnya, aksi keseluruhan perlawanan sebenar adalah seni sebenar bola sepak.

Dia juga berpendapat Kedah pasti mahu menamatkan aksi perlawanan akhir nanti dalam tempoh 90 minit.

Namun, katanya jika perlawanan terikat dan terpaksa ditentukan menerusi tendangan penalti, ia lebih bergantung kepada nasib.

"Saya mahu keputusan perlawanan dicapai dalam tempoh 90 minit. Jika terikat dan terpaksa ditentukan menerusi tendangan penalti, itu nasib," katanya.

Mengulas lanjut, Wan Jamak berkata, dia melihat Kedah sebagai sebuah pasukan muda, tetapi mempunyai kelebihan tersendiri kerana sudah lama bersama, sejak di bawah kendalian Azraai Khor Abdullah.

Katanya, skuad itu berjaya melangkah ke pentas perlawanan akhir Piala FA sebanyak dua kali sebelum ini dan ia merupakan satu kelebihan.

Jelasnya, skuad Kedah sudah mula menemui rentak sebenar mereka, biarpun sebelum ini terumbang ambing.

"Kedah mempunyai barisan pemain yang mantap di setiap posisi. Sehubungan itu, saya mengingatkan pemain agar lebih berhati-hati dan tidak melakukan kesilapan mudah," katanya.

Ditanya mengenai ketiadaan pemain handalan Kedah, Azlan Mohd. Zain, yang dikenakan tindakan penggantungan perlawanan, Wan Jamak berkata, ia bukan kelebihan buat Negeri Sembilan.

Katanya, kekuatan sesebuah pasukan bukan bergantung kepada kehebatan seorang pemain, tetapi keupayaan setiap pemain menghasilkan persembahan bertenaga.

"Peluang untuk Negeri Sembilan memenangi perlawanan akhir ini 50-50. Bagi saya, kemuncak sesuatu perlawanan akhir adalah berbeza dengan pertemuan biasa.

"Pasukan yang cepat menyesuaikan diri dan menggunakan kesempatan yang dimiliki dengan sebaiknya, dialah yang akan memenangi perlawanan," katanya.UTUSAN 10 April.

No comments:

Post a Comment