Friday, April 9, 2010

Helmi Tidak Mahu dirobek


PENJAGA gol Kedah, Helmi Eliza Elias (gambar) berazam mempertahankan gawangnya daripada dirobek Negeri Sembilan pada final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.

Penjaga gol berusia 27 tahun itu nekad mempamerkan komitmen dan kesungguhan tinggi bagi memastikan pintu golnya tidak dibolosi.

Helmi yang dinobat Penjaga Gol Popular dan Pemain Paling Bernilai pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2007-2008 kini cukup fokus bagi menghadapi aksi final itu.

"Sebarang kesilapan boleh membawa padah kepada pasukan. Saya tidak boleh leka, sebaliknya perlu memberi komitmen yang tinggi," katanya kepada Kosmo! di Alor Setar semalam.

Helmi turut mengharapkan bantuan dan kerjasama rakan-rakan sepasukannya untuk bersama-sama mempertahankan benteng daripada dibocori pasukan lawan.

"Menerusi semangat berpasukan, kesungguhan, tekad dan semangat juang yang tinggi, Kedah mampu meraih kejayaan," katanya.

Pemain yang berasal dari Alor Setar ini juga tidak mahu tumpuannya diganggu oleh 'perang psikologi' dan sorakan daripada penyokong Negeri Sembilan.

"Disebabkan itu, saya perlu memberi tumpuan sepenuhnya sepanjang tempoh permainan.

"Saya juga sudah bersedia dari segi fizikal dan mental bagi menghadapi perlawanan itu yang mungkin berlarutan hingga penentuan sepakan penalti," katanya yang pernah menjulang Piala FA pada musim 2006/07 dan 2007/08.

No comments:

Post a Comment