Wednesday, April 7, 2010

Kedah tak terjejas masalah kecederaan

KUALA LUMPUR - Masalah kecederaan dan tindakan penggantungan pemain tidak akan menjejaskan Kedah pada perlawanan akhir Piala FA, menentang Negeri Sembilan, Sabtu ini.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Dr. Hamdan Mohamed Khalib berkata, perkara itu tidak seharusnya menjadi alasan buat Kedah untuk tidak memberi persembahan terbaik.

Menurut beliau, meskipun dua perkara tersebut melanda skuad Kenari menjelang aksi final, ia sama sekali tidak akan mematahkan semangat pemain.

Katanya, seperti biasa, Kedah yang sering kali dicemburui negeri lain dalam kancah bola sepak negara, akan turun dengan satu hajat, iaitu mencipta kemenangan.

"Pasukan ini akan sama-sama turun bermain dengan kesungguhan jitu dan berusaha mempamerkan persembahan sempurna.

"Pasukan Kedah yang diperkuatkan dengan kebanyakan pemain tempatan, pasti akan memberi yang terbaik pada perlawanan akhir itu nanti.

"Semangat pemain untuk mengharungi perlawanan akhir Piala FA sangat cukup tinggi," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Piala FA di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Hamdan berkata, biarpun dilanda dengan kemelut kecederaan dan penggantungan pemain, KFA akan berusaha untuk menyediakan skuad terbaik.

Katanya, berbekalkan semangat membara setiap pemain, dia yakin skuad Kenari itu mampu melakar kejayaan manis di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Jelasnya, disiplin dan keazaman tinggi yang dimiliki skuad Hijau Kuning bakal menjadi penyuntik semangat terbaik untuk menundukkan Negeri Sembilan yang diperkuatkan dengan beberapa pemain ternama negara seperti Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak, Rezal Zambery Yahya dan Shukor Adan.

Sambil berjenaka, Hamdan menyatakan Piala FA mungkin akan menjadi milik Kedah, apabila piala kejohanan itu berada di sampingnya ketika sidang akhbar dijalankan semalam.

"Piala FA berada di tepi saya ketika ini. Saya harap ia menjadi petanda awal yang baik buat Kedah untuk menjuarai kejohanan ini musim ini," katanya dengan penuh pengharapan.
UTUSAN 7 April

No comments:

Post a Comment