Monday, April 5, 2010

Corak menyerang julang Kedah ke perlawanan akhir


ALOR SETAR- Keberkesanan percaturan pasukan Kedah yang menekankan corak menyerang meskipun mempunyai bekalan gol selesa dilihat antara faktor membawa skuad itu mara ke perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Tidak mahu mengamalkan permainan bertahan, skuad Hijau Kuning memulakan misi memburu gol ke atas pasukan Terengganu sebaik wisel perlawanan ditiupkan dalam saingan separuh akhir kedua di Stadium Darul Aman kelmarin.

Taktik itu berkesan apabila Sang Kenari memperoleh gol seawal minit kelima sebelum menambah jaringan 19 minit kemudian sekali gus menempah tiket ke perlawanan akhir Piala FA edisi ke-21 dengan agregat 4-1.

Aksi di pentas akhir itu merupakan kali keempat bagi skuad Hijau Kuning yang akan bertemu Negeri Sembilan selepas muncul juara sebanyak tiga kali iaitu pada 1996, 2007 dan 2008.

Ketua jurulatih, Ahmad Yusoff berkata, strategi pasukan Kedah untuk mengasak ke kubu Terengganu membuahkan hasil apabila anak buahnya berjaya mencipta dua gol pada babak pertama perlawanan.

Keadaan itu, katanya, menambahkan keyakinan kesebelasan Sang Kenari yang turun beraksi dengan bekalan dua gol.

''Kami memang tidak mahu bermain secara bertahan kerana taktik seumpama itu akan memberi tekanan kepada pemain.

''Syukur kerana Kedah dapat bermula dengan garang apabila menjaringkan dua gol lagi yang membuatkan para pemain lebih yakin.

''Tetapi barisan Kedah kemudian nampak mula selesa sehingga menjadi agak leka yang memberi peluang kepada Terengganu untuk mengasak dan mendapat satu gol,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Ahmad Yusoff yang pertama kali mara ke aksi final sebagai ketua jurulatih berkata, kejayaan itu merupakan hadiah kepada para peminat Kedah yang tidak jemu-jemu memberi sokongan kepada Sang Kenari.

Mengulas mengenai kekuatan lawannya pada perlawanan akhir nanti, dia menyifatkan pasukan itu perlu dihormati tetapi Kedah akan berjuang habis-habisan untuk merangkul Piala FA buat kali keempat.

Katanya, tempoh seminggu yang ada sebelum hari penentuan akan digunakan oleh kem Hijau Kuning dengan sebaik-baiknya termasuk memperbaiki kelemahan yang ada.
(UTUSAN 5 April)

No comments:

Post a Comment