Friday, April 2, 2010

Irfan seru Terengganu bangkit di Alor Setar

KUALA TERENGGANU - Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti yakin boleh menyekat Kedah jika pemainnya mampu mengulangi rentak ketika menewaskan T-Team pada suku akhir Piala FA, sebelum ini.

Irfan berkata, jika persembahan luar biasa itu mampu diulangi, beliau yakin Terengganu boleh menyekat Kedah pada pertemuan separuh akhir kedua di Alor Setar, malam ini.

Apa pun, Irfan mahu anak-anak buahnya bermain cemerlang dan tidak mengulangi kekalahan 0-2 pada pertemuan pertama, Selasa lalu.

''Jika pemain dapat bangkit dan mengembalikan semangat ketika mengalahkan T-team pada perlawanan lalu, saya yakin kita akan menang.

''Malah, ketiadaan penyerang berbisa Kedah, Azlan Ismail yang digantung perlawanan memberikan bonus kepada kita apabila bertemu Kedah malam esok (malam ini).

"Lebih menggembirakan, kehadiran kapten, Marzuki Yusof daripada penggantungan satu perlawanan menambah semangat kepada pemain untuk menewaskan Kedah," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini, semalam.

Tambah Irfan, keyakinannya begitu kuat apabila semua semua pemain termasuk penyerang, Abdul Manaf Mamat dalam keadaan terbaik diturunkan pada perlawanan separuh akhir kedua ini.

''Saya yakin dengan semua pemain yang diturunkan, namun apa yang penting ialah mereka dapat memberi fokus sepenuhnya kepada perlawanan dan cuba mendapatkan sebanyak mungkin gol".

''Memang kita akan bermain secara tertekan, namun mengikut perhatian saya, rekod Kedah ketika beraksi di gelanggang sendiri tidaklah begitu baik, jadi saya harap pemain mampu melakukan sesuatu pada separuh akhir kedua ini.

''Jadi pemain Terengganu perlu menggunakan masa yang ada untuk mengubah keputusan permainan dan nasib pasukan ini terletak di tangan mereka,'' jelasnya.

Kali terakhir Terengganu melangkah ke perlawanan akhir Piala FA adalah pada edisi 2004, iaitu tahun yang menyaksikan mereka tewas 0-3 kepada Perak. (UTUSAN 3 April)

No comments:

Post a Comment