Friday, April 9, 2010

Bekas pengendali, Azraai ramal Kedah juara


KUALA LUMPUR - Bekas jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah meramalkan skuad "Hijau Kuning" mampu menjulang Piala FA apabila menentang Negeri Sembilan pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, esok.

Beliau, yang kini membimbing skuad bawah 21 tahun kebangsaan atau Harimau Muda A pada liga di Slovakia, berkata, walaupun Kedah dibarisi ramai pemain muda, ia bukan penghalang.

"Pemain muda ini sebenarnya mempunyai pengalaman bermain di peringkat yang lebih tinggi berbanding lawan, seperti Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) serta beberapa perlawanan akhir," katanya semalam.

Malah, Mohd Azraai berkata, pengurusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), perlu bijak memberi motivasi kepada barisan pemain muda untuk mencipta kejayaan di bawah jurulatih Ahmad Yusof.

Pandangan Mohd Azraai itu tampak berasas, kerana Kedah menjuarai Piala FA pada tahun 2007 dan 2008, serta beraksi di pentas Piala AFC untuk dua musim pada tahun 2008 dan 2009.

"Nasihat saya, pemain perlu memberi fokus sepenuhnya kepada 90 minit masa permainan. Selain itu pasukan yang kurang membuat kesilapan akan berjaya," katanya.

Beliau juga turut tidak menolak faktor pengalaman yang dimiliki oleh jurulatih Kedah (Ahmad Yusof) dan Negeri Sembilan (Wan Jamak Wan Hassan), menjadi penentu.

Mohd Azraai sebelum ini pernah membimbing Kedah ke puncak kegemilangan apabila membimbing skuad itu menjuarai tiga piala termasuk Piala FA dua musim berturut-turut pada 2006/07 dan 2007/08.

Sekiranya berjaya menjulang Piala FA edisi ke-21 kali ini, Kedah akan menjadi pasukan kedua terbaik dengan empat kali muncul selaku juara di belakang Selangor (lima kali), sejak piala itu diperkenalkan pada 1990.

Kini Kedah terikat dengan Kuala Lumpur yang turut menjulang Piala FA sebanyak tiga kali dan muncul naib juara sekali pada 1992.

Kedah mara ke perlawanan akhir tahun ini apabila menyingkirkan Terengganu dengan agregat 4-1.

Negeri Sembilan pual ke final selepas menumpaskan juara bertahan, Selangor dengan peraturan gol di tempat lawan setelah terikat dengan agregat 2-2.
UTUSAN 9 APRIL

No comments:

Post a Comment