Friday, April 2, 2010

Terengganu mahu tampil luar biasa di Alor Setar

JURULATIH Terengganu, Irfan Bakti mencabar anak-anak buahnya untuk menampil- kan persembahan luar biasa apabila turun pada aksi separuh akhir kedua menentang Kedah malam ini.

Skuad Penyu itu akan beraksi di Stadium Darul Aman, Alor Setar selaku pasukan pelawat dalam misi memburu sekurang-kurangnya tiga gol tanpa balas bagi memastikan tiket ke final berada dalam genggaman.

Pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu Selasa lalu, skuad kendalian Irfan tewas mengejut 0-2.

Namun, Irfan yakin anak-anak buahnya mampu bangkit dengan aksi terbaik di Alor Setar malam ini seperti mana ketika mereka menyingkirkan T-Team dalam aksi penuh dramatik pada peringkat suku akhir.

"Inilah peluang terakhir kami dan saya mengharapkan pemain saya mampu mengulangi rentak sama ketika kami menewaskan T-Team.

"Pada perlawanan itu, kami tewas 1-3 di suku akhir pertama, namun berjaya bangkit untuk mencatat kemenangan 4-1 pada aksi kedua, sekali gus mara ke separuh akhir.

"Semangat itulah yang saya inginkan dari- pada semua pemain apabila kami bertemu Kedah malam esok (malam ini)," kata Irfan kepada Kosmo! semalam.

Malah, Irfan juga mahu pemain-pemainnya mengambil kesempatan di sebalik ketiadaan penyerang berbisa Kedah, Azlan Ismail yang digantung perlawanan.

Katanya, kehadiran kapten, Marzuki Yusof daripada penggantungan satu perlawanan turut memberi semangat tambahan kepada skuad Penyu itu untuk menewaskan Kedah.

"Kami hanya ada 90 minit untuk mengubah keputusan permainan dan nasib pasukan ini hanya dapat ditentukan oleh pemain," tambahnya.

Mengenai kedudukan pemainnya, Irfan menjelaskan, kesemua tonggak utamanya termasuk Abdul Manaf Mamat berada pada prestasi terbaik untuk diturunkan pada perlawanan separuh akhir kedua ini.

"Apa yang penting, pemain memberi fokus penuh kepada perlawanan dan cuba mencari sebanyak mungkin gol," tambahnya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia, Datuk Azzuddin Ahmad mengesahkan bahawa Azlan tidak akan dapat beraksi pada perlawanan hari ini ekoran penggantungan perlawanan.

"Setelah Ahli Jawatankuasa Disiplin dan Tatatertib FAM melakukan siasatan, kami mendapati Azlan bersalah berikutan tindakannya menyerang pengadil ketika perlawanan suku akhir pertama Piala FA menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Azlan dikenakan hukuman pergantungan sebanyak empat perlawanan berkuat kuasa serta-merta," jelas Azzuddin. (KOSMO!-3 April)

No comments:

Post a Comment