Friday, April 9, 2010

Kenari tak kejar imbuhan

ALOR SETAR - Percaturan untuk cuba mengembalikan semula martabat bola sepak Kedah akan menjadi matlamat utama pemain apabila menentang Negeri Sembilan pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini.

Selepas muncul pasukan pertama mengulangi pencapaian menakjubkan - memenangi ketiga-tiga piala utama buat musim kedua beturut-turut pada 2007 dan 2008 - Kedah akan memastikan kekecewaan musim lepas dapat diatasi.

Namun, pemain Kedah mempertaruhkan nilai diri bahawa mereka masih lagi merupakan pasukan yang perlu dihormati serta menjanjikan kebangkitan skuad bimbingan Ahmad Yusof.

Walaupun tidak dijanjikan imbuhan mewah berbanding RM350,000 yang dijanjikan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan, pasukan Kedah merencana strategi perlawanan akhir dengan niat mengulangi pencapaian cemerlang sebelum ini.

"Imbuhan bukanlah segala-galanya....nilai diri pemain lebih bermakna untuk mengembalikan kegemilangan pasukan ini," kata pengurus pasukan, Datuk Khazali Din, yang turut disokong oleh Ahmad.

Khazali yakin dengan moral anak-anak buahnya, yang telah berikrar untuk memberikan persembahan terbaik masing-masing pada malam penentuan itu.

Ahmad pula berkata, ketiadaan penjaring terbanyak Azlan Ismail yang digantung empat perlawanan kerana kad merah, tidak melemahkan pasukannya, kerana terdapat beberapa pemain gantian terbukti berkemampuan untuk mengisi kekosongan.

Katanya, skuad Kenari menyandar harapan kepada Badrol Bakhtiar, Khyreel Muhymeen dan Mohd Azmi Muslim dan juga Muhamad Zamri Chin untuk mendapatkan gol.

"Dalam latihan dua tiga hari lepas, saya telah mencuba kombinasi dan strategi yang sesuai dengan corak pemain....rasanya inilah senjata kami," katanya kepada.

Menurutnya, Negeri Sembilan agak mantap bahagian tengah tetapi kelemahan bahagian hadapan mereka memberi kelebihan kepada Kedah.

Bekas penjaga gol kebangsaan, Mohd Helmi Eliza Elias antara pemain senior yang mengecap "kemanisan" bergelar juara treble berganda, yakin rakan-rakannya tidak akan menghampakan beliau serta penyokong setia mereka kali ini.

"Kekuatan Negeri Sembilan terletak di bahagian tengah. Sekiranya pemain Kedah dapat menyekat mereka di posisi ini, mereka tidak boleh melepasi benteng kami," katanya.

Sementara itu. Kedah mendapat suntikan peminat apabila beribu penyokong setianya dari negeri ini dan di luar Kedah telah menempah bas untuk ke Bukit Jalil.

Menurut Khazali, lebih 8,000 penyokong dari Kedah telah membeli tiket, tidak termasuk dari luar Kedah khususnya yang tinggal di Lembah Klang.

Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim menyediakan enam buah bas untuk membawa 240 penyokong setia Hijau-Kuning dalam kawasannya untuk ke Bukit Jalil. - Bernama

No comments:

Post a Comment