Friday, April 9, 2010

Awas Kedah! NS turun penuh 'berisi'


SEREMBAN - Kali terakhir Negeri Sembilan menjulang Piala FA adalah pada tahun 2003, atau tujuh tahun yang lalu. Ia merupakan tempoh yang agak lama. Namun malam ini, Negeri Sembilan mempunyai peluang untuk menutup sejarah tujuh tahun lalu dengan satu azam yang kuat dan tinggi untuk menjulang Piala FA 2010 dalam aksi final berprestij menentang Kedah di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Di stadium itu jugalah, Negeri Sembilan telah mencipta sejarah penantian 60 tahun untuk menjulang Piala Malaysia, apabila muncul juara tahun lalu.

Apa yang pasti, rekod silam Negeri Sembilan adalah sejarah yang telah membangkitkan barisan muda yang kental untuk berentap dalam tempoh 90 minit aksi penuh debaran malam ini.

Negeri Sembilan dan Kedah kini mempunyai reputasi yang kian disegani - pasukan yang bukan sahaja berentap untuk menjulang Piala FA 2010, tetapi memastikan salah satu pasukan itu dapat mewakili negara pada aksi Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), tahun depan.

Inilah percaturan yang bukan bersandarkan semangat semata-mata tetapi taktik, susun atur pemain, strategi, kekuatan mental serta fizikal dan paling utama, komited serta persefahaman di atas padang.

Kata ketua pasukan skuad Negeri Sembilan, Rezal Zambery Yahya, bukan debaran sahaja yang berdegup kencang, tumpuan juga hendaklah tidak hilang ketika di padang.

''Walau apa faktor sekali pun, ia tidak akan jadi penghalang untuk saya dan rakan-rakan bagi memberikan persembahan terbaik, sekali gus mencari kemenangan dalam perlawanan malam esok.

''Saya sudah menasihati pemain lain agar yakin dengan diri sendiri selain menganggap perlawanan ini sama seperti aksi biasa," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.

Kata Rezal, menerusi komitmen serta keyakinan yang tinggi ketika ini, kami akan membawa impian seluruh rakyat Negeri Sembilan untuk menjulang Piala FA ke negeri ini.

''Sedikit sebanyak kita sudah tahu corak permainan pihak lawan, mereka (Kedah) memang dikenali dengan tempo permainan laju.

''Biarlah mereka dengan kelajuannya. Kita juga ada tempo tertentu.

''Lagipun, sebelum ini Negeri Sembilan pernah menewaskan Kedah 1-0 dalam pertemuan perlawanan Liga Super musim ini ," jelasnya.

Dalam pada itu, penyerang berbisa skuad Rusa, Mohd. Zaquan Adha Abdul Radzak memberitahu, dia akan memastikan peluang gol tidak dipersia-siakan.

''Saya hanya mahukan kemenangan. Berapa jumlah jaringan, itu saya tidak tetapkan.

''Piala FA mesti dibawa pulang ke Negeri Sembilan," tegasnya.

Dalam pada itu, tonggak pertahanan, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak, mahu memastikan benteng pertahanan pasukannya terus teguh daripada dirobek jentera penyerang Kedah.

''Pasukan yang berjaya mengawal rentak permainan, mempunyai peluang yang cerah untuk menjadi juara," katanya.

Biarpun pelbagai impian diletakan di bahu Negeri Sembilan, anak buah Wan Jamak Wan Hassan akan menghuru-harakan setiap penjuru Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Bagi pasukan Kedah - awas, Negeri Sembilan bukan turun tanpa 'berisi', mereka sudah ada resepi untuk menjadikan mereka 'mangsa' pada final Piala FA, malam ini.UTUSAN 10 April

No comments:

Post a Comment