Wednesday, April 7, 2010

Kedah enggan dedah ganjaran


TATKALA Negeri Sembilan sudah ditawarkan habuan wang tunai jika merangkul Piala FA, lain pula ceritanya dengan skuad Kedah.

Ini kerana, pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) masih berahsia mengenai ganjaran yang bakal diterima skuad Kenari itu jika mereka muncul juara pada aksi final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Bagaimanapun, Presiden KFA, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, imbuhan akan diberikan mengikut kesesuaian dan apa yang diperlukan oleh pemain.

"(Saya) sedang fikirkan bentuk imbuhan sesuai," katanya di Wisma Darul Aman, Alor Setar semalam.

Terdahulu, Azizan diminta mengulas imbuhan yang ditawarkan KFA dan kerajaan negeri sekiranya Kedah menjuarai Piala FA.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah memberitahu, kerajaan negeri sebelum ini telah mengumumkan pemberian lot banglo kepada pemain Kedah yang meraih gelaran treble pada musim 2007/08.

Katanya, lot banglo itu akan diberikan di kawasan Pokok Sena berdekatan Bandar Sejahtera.

"Ketika ini ia di peringkat teknikal sebelum diserahkan kepada pemain apabila selesai kelak," katanya.

Azizan turut mengucapkan tahniah kepada skuad kendalian Ahmad Yusof itu kerana layak ke perlawanan akhir Piala FA musim ini.

"Mereka berkemampuan melakar kejayaan, biarpun tanpa pemain import.

"Dulu kata Kedah kuat sebab ada pemain import tetapi tanpa pemain luar, Kedah pun boleh berjaya, walaupun tahun lepas prestasi sedikit menurun.

"Harap selepas ini media jangan kutuk banyak-banyak, apabila menang puji meleleh," jelasnya.

Beliau berharap, Kedah dapat mencapai kemenangan pada aksi final nanti biarpun Negeri Sembilan diletakkan sebagai pasukan pilihan.

"Dengan semangat juang anak muda, saya berharap Kedah boleh mencapai kejayaan," katanya.
KOSMO! 8 April 2010
----------------------------------------------------
Ada imbuhan tunggu skuad Kedah - Azizan

ALOR SETAR - Selepas menghadapi kemarau kemenangan pada musim lalu, Kedah selaku juara treble 2007/2008 mahu mengembalikan kegemilangannya dengan permulaan untuk mengecap nikmat kejuaraan Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Perlawanan akhir Piala FA menentang Negeri Sembilan pasti menuntut komitmen tinggi pemain skuad Hijau Kuning kerana kemenangan sudah tentu menyemarakkan semula semangat Kedah untuk dihormati sebagai antara skuad elit di negara ini.

Sehubungan itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengumumkan bahawa pemain-pemain dan pegawai pasukan Hijau Kuning akan diberi hadiah sekiranya berjaya membawa pulang Piala FA musim ini.

Bagaimanapun, Azizan yang juga Menteri Besar Kedah berkata, pihaknya belum memutuskan bentuk hadiah yang bakal diberikan tetapi ia sudah tentu bernilai dan istimewa untuk pemain bagi mengenang jasa mereka berikutan kejayaan pasukan Hijau Kuning.

"Tentu ada imbuhan tetapi akan mengikut kesesuaian dengan pemain," kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darulaman di sini, semalam.

Menurut Azizan, pasukan Kedah mampu untuk melakar kejayaan pada saingan akhir Piala FA berdasarkan keupayaan pemain sebagaimana ditunjukkan sehingga mampu mencecah peringkat akhir walaupun menghadapi pelbagai cabaran.

"Pemain telah membuktikan mereka boleh berjaya walaupun tanpa pemain import kerana selama ini mereka sering dikaitkan dengan tonggak import walaupun pada musim lalu prestasi menurun tetapi Kedah kini sudah kembali," kata beliau.

Sebelum ini, kerajaan negeri telah menganugerahkan lot banglo kepada setiap seorang pemain dan pegawai pasukan yang terlibat dalam kejayaan pasukan itu menjulang ketiga-tiga piala berprestij iaitu Piala Liga, Piala FA dan Piala Malaysia bagi musim 2007/2008.

Kata beliau, lot-lot di daerah Pokok Sena itu telah diberikan kepada pemain dan pegawai tersebut dan kini ia dalam peringkat teknikal sebelum diserahkan kepada mereka.
UTUSAN 8 April 2010

No comments:

Post a Comment