Saturday, April 3, 2010

Negeri Sembilan, Kedah ke final

AKHIRNYA impian penyandang juara Piala Malaysia, Negeri Sembilan untuk beraksi di pentas final Piala FA tercapai.

Negeri Sembilan berjaya merealisasikan impian mereka itu apabila menyingkirkan juara bertahan, Selangor.

Sekalipun agregat terikat 2-2 selepas Negeri Sembilan tewas 0-1 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi, skuad Hoben Jang Hoben itu tetap melangkah ke final berdasarkan kelebihan jaringan di tempat lawan.

Pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam Selasa lalu, Negeri Sembilan menang 2-1.

Gol tunggal Selangor malam tadi diperoleh hasil jaringan sendiri pertahanan Negeri Sembilan, Alif Shamsudin pada minit ke-56.

Terdahulu, pada babak pertama, Selangor dilihat gagal menyempurnakan beberapa peluang terbaik di depan pintu gol tuan rumah.

Begitu juga Negeri Sembilan yang terlepas untuk menggegar gawang pasukan pelawat.

Pada babak kedua, skrip yang sama hampir berulang apabila beberapa peluang yang diperoleh kedua-dua pasukan gagal dimanfaatkan sebaik mungkin.

Hanya jaringan tunggal Alif dapat dijelmakan bagi menceriakan seketika penyokong Selangor.

Sementara itu, Kedah membenam Terengganu 2-1 di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Kemenangan itu menyaksikan Kedah mara ke final dengan agregat 4-1 selepas skuad Kenari itu mencipta kemenangan 2-0 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Pada aksi malam tadi, Khairul Helmi Johari menjaringkan gol pertama Kedah seawal minit kelima.

Muhd. Syafiq Jamal menjaringkan gol kedua tuan rumah pada minit ke-24.

Gol tunggal Terengganu dijaringkan oleh Wan Mohd. Aliff pada minit ke-42.

No comments:

Post a Comment