Monday, April 5, 2010

Gol awal Kedah 'bunuh' semangat Terengganu


JARINGAN awal Kedah menjadi penyuntik semangat kepada skuad Kenari untuk menang 2-1 ke atas Terengganu pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam kelmarin.

Gol seawal minit kelima oleh pemain pertahanan, Khairul Helmi Johari ternyata telah 'membunuh' semangat skuad Penyu yang mahu bangkit setelah tewas 0-2 pada aksi pertama di Kuala Terengganu minggu lalu.

Perkara itu turut diakui sendiri oleh ketua jurulatih Kedah, Ahmad Yusof yang menganggap jaringan Khairul Helmi menjadi pendorong kepada pemain-pemainnya untuk mempamerkan lebih bertenaga.

Katanya, kesungguhan barisan pemainnya ditunjukkan menerusi jaringan kedua yang dihasilkan Mohd. Shafiq Jamal pada minit ke-24.

"Pujian harus diberikan kepada para pemain. Mereka menunjukkan kesungguhan yang tinggi untuk menang.

"Kemenangan ini adalah untuk peminat dan rakyat Kedah yang banyak memberi sokongan," katanya kepada Kosmo! di Alor Setar semalam.

Ahmad memberitahu, beliau sedikit khuatir apabila pemain dilihat selesa selepas mendahului dua jaringan sehingga membuka ruang kepada pasukan lawan menjaringkan gol.

Gol sagu hati Terengganu disumbangkan oleh Wan Mohd. Aliff pada minit ke-42.

"Apabila mendahului, pemain dilihat agak lega, namun pemain sedar hal itu dan mereka pantas membaiki kesilapan," katanya.

Kemenangan itu juga dilihat pemerhati sebagai menghapuskan badi Kedah yang agak 'berat' untuk menang di laman sendiri pada saingan Liga Super musim ini.

Bagi Ahmad, pemain-pemainnya sudah mendapat momentum kemenangan dan berharap ia dapat dikekalkan pada perlawanan akan datang.

Kejayaan melangkah ke pentas final Piala FA, sekali gus mengulangi rekod Kedah pada musim 2006 dan 2007 yang menyak- sikan mereka ditabalkan selaku juara treble.

Kedah bakal bertemu penyandang juara Piala Malaysia, Negeri Sembilan pada aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Rekod pertemuan kedua-dua pasukan bagi saingan musim ini memihak kepada Negeri Sembilan yang menang 1-0 ke atas Kedah di Alor Setar dalam kempen Liga Super.

Mengulas mengenai pertemuan final itu, Ahmad tidak mahu anak-anak buahnya terlalu mengimpikan untuk muncul juara, sebaliknya memberi fokus kepada permainan.

"Apabila beraksi baik dan menjaringkan gol, kemenangan mampu berpihak kepada Kedah," kata- nya.
KOSMO! 5 April 2010

No comments:

Post a Comment