Friday, April 9, 2010

Samransak tetap sumbang moral Kenari


KUALA LUMPUR - Dua perlawanan akhir Piala FA sudah diharungi dengan bergelar juara berturut-turut, tetapi alangkah manisnya jika aksi menentang Negeri Sembilan, esok, juga dapat dinikmati Samransak Kram, jika lutut kanannya tidak tercedera.

Penyerang berusia 25 tahun itu hanya mampu menjadi pemerhati, apabila rakan sepasukan Kenari turun ke Bukit Jalil, sekalipun hatinya memberontak untuk turut berjuang di Stadium Nasional, apatah lagi di depan ribuan penyokong Hijau Kuning.

"Kecewa memanglah terasa, tetapi kecederaan ini memerlukan tempoh sebulan lagi untuk pulih dan kembali bermain.

''Terkilan pun ada, sebab ia berlaku ketika suku akhir Piala FA menentang Angkatan Tentera, bulan lalu - sedikit lagi untuk ke perlawanan akhir.

"Kini yang termampu saya sumbangkan ialah sokongan moral yang padu kepada rakan sepasukan supaya mereka dapat bawa balik Piala FA ke Kedah seperti 2007 dan 2008, ketika saya turut bermain," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Pemain berketurunan Siam itu bermain sepenuh masa ketika Kedah yang dibimbing Azraai Khor Abdullah menewaskan Perlis menerusi penalti 4-2, tetapi cuma masuk sebagai pemain gantian selama 30 minit ketika mereka mengatasi Selangor 3-2, dua tahun lalu.

Samransak bagaimanapun tetap tumpang seronok apabila menyaksikan kepulangan Khyril Muhymeen Zambri daripada kecederaan lutut, selain peningkatan prestasi semasa Baddrol Bakhtiar dan Faizal Abu Bakar, di bawah bimbingan Ahmad Yusof.

Dia yang bakal bergelar bapa pada September ini, berkata, "pasukan Kedah kini semakin serasi walaupun bermula agak perlahan dalam Liga Super.

''Sentuhan penyudahan pemain juga makin menjadi dan memberikan petanda baik untuk kami terus berjaya pada Sabtu ini."

Mengenai Negeri Sembilan yang turut memburu trofi persaingan kalah mati kebangsaan ini kali kedua selepas 2003, katanya, "jika mereka mampu menewaskan juara bertahan, Selangor (pada separuh akhir), bererti pasukan ini memang handal dan liat untuk ditundukkan.

"Agak malang ketika kami menentang Negeri Sembilan dalam Liga Super (kalah 1-0 di Alor Setar, baru-baru ini selepas suku akhir Piala FA), saya sudah tidak boleh bermain kerana cedera dan sukar menilai kemampuan sebenar mereka di tengah padang," katanya.
UTUSAN 9 April...

No comments:

Post a Comment