Wednesday, April 7, 2010

Kedah enggan dabik dada, ketepi kegemilangan silam


ALOR SETAR - Kedah ikut resmi padi, 'makin tunduk, makin berisi'.

Pemain skuad Kedah tidak mahu mendabik dada bermegah dengan kejayaan silam menjelang perlawanan akhir Piala FA edisi ke-21 menentang Negeri Sembilan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Meskipun sepanjang 20 edisi Piala FA sebelum ini memperlihatkan rekod Sang Kenari lebih baik berbanding lawan, skuad Hijau Kuning sedar, itu bukan jaminan untuk membawa mereka pulang trofi tersebut sekali lagi ke negeri Jelapang Padi.

Para pemain juga menyedari, kejayaan muncul tiga kali juara Piala FA termasuk gelaran berganda pada musim 2007 dan 2008, kini hanya catatan sejarah dalam diari bola sepak negara.

Bagi skuad Sang Kenari, kejayaan silam itu cuma boleh dijadikan pembakar semangat, namun enggan leka dibuai sejarah, memandangkan di pentas akhir Sabtu ini merupakan realiti, yang memerlukan komitmen dan kesungguhan, jika mahu mencipta kemenangan.

Apatah lagi, rekod pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan dalam saingan Liga Super, menyaksikan Kedah terkulai 0-1 kepada skuad Rusa.

Justeru, cuma aksi terbaik di atas padang dapat membantu skuad bimbingan Ahmad Yusoff dalam usaha mereka mencari gelaran juara Piala FA, buat kali keempat.
Utusan 7 April

No comments:

Post a Comment