Wednesday, April 7, 2010

FAM pilih pengadil terbaik

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) berjanji akan memastikan mutu pengadilan pada final Piala FA di antara Negeri Sembilan dan Kedah di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini adalah yang terbaik.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandi- ngan Tempatan FAM ,Datuk Che Mat Jusoh berkata, FAM akan menggunakan perlawanan tersebut sebagai medan untuk membuktikan kualiti pengadilan di Malaysia adalah pada tahap membanggakan.

Che Mat yang juga Naib Presiden FAM turut memberi jaminan bahawa pengadil yang akan dipilih untuk final tersebut merupakan yang terbaik bagi memastikan kredibiliti pengadil tidak terus dipertikaikan.

"Saya telah memaklumkan kepada Kamaruddin Sakhari (Ketua Jabatan Pengadil FAM) supaya pengadil yang dipilih nanti adalah yang terbaik.

"Ia bagi membuktikan bahawa mutu pengadilan di negara ini masih pada tahap yang terbaik. Tentang siapa yang akan jadi pengadil final ini, itu rahsia," ujar Che Mat selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Final Piala FA serta lawatan padang di Stadium Nasional semalam.

Dalam pada itu, FAM telah memperuntukkan 70,000 keping tiket bagi aksi final tersebut.

Sebanyak 15,000 tiket akan dijual pada hari perlawanan kerana baki 55,000 lagi sudah ditempah Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) dan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

"PBNS telah memohon 30,000 tiket manakala KFA pula memohon 25,000. Jadi baki 15,000 lagi akan dijual di Stadium Nasional bermula pukul 9 pagi Sabtu ini.

"Tiket untuk semua tempat duduk berharga RM20 manakala bagi kanak-kanak bawah 12 tahun ialah RM5," katanya.

Jelas Che Mat, seramai 1,699 anggota polis akan bertugas pada perlawanan tersebut bagi memastikan keadaan keselamatan penonton terjamin manakala pintu stadium akan mula dibuka pukul 5 petang.

"Jika berlaku sebarang kekacauan, bukan saja penyokong akan menerima hukuman, malah persatuan negeri mereka turut dikenakan tinda- kan," katanya.

No comments:

Post a Comment