Wednesday, April 7, 2010

'Pertembungan bersejarah'


PENYERANG sensasi Negeri Sembilan, Zaquan Adha Abdul Razak menganggap aksi menentang Kedah pada final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu ini bakal menjadi salah satu pertemuan paling bersejarah dalam kejohanan tersebut.

Jelas Zaquan, pada pertemuan tersebut, kedua-dua pasukan akan mempertaruhkan ramai pemain muda berbakat.

"Saya hormati Kedah kerana keupayaan pemain-pemain mudanya tetapi kami juga mempunyai ramai pemain muda yang berbakat besar.

"Saya percaya saingan final Piala FA ini akan menjadi sejarah di mana aksi paling sengit akan disaksikan oleh seluruh peminat bola sepak tempatan," katanya kepada Kosmo! semalam.

Zaquan berkata, peluang kedua-dua pasukan bagi mencipta kemenangan adalah seimbang, namun strategi dan persembahan di atas padang nanti bakal menentukan siapa muncul juara.

Menurutnya, skuad Hoben Jang Hoben kini berada pada kekuatan sebenar selepas beberapa pemain utama yang digantung perlawanan ketika aksi separuh akhir kedua menentang Selangor Sabtu lalu kembali menyertai pasukan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan menyeru para pemainnya mempamerkan semangat kental dan tidak mudah putus asa ketika berdepan dengan Kedah nanti.

Mohamad yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan memberitahu, jika rentak cemerlang yang ditunjukkan oleh pemain ketika ini diteruskan, peluang Negeri Sembilan untuk menang adalah cerah.

"Jika Piala FA berjaya dibawa pulang, maka lengkaplah koleksi kejuaraan bola sepak Negeri Sembilan.

"Kita telah menang Piala Super pada 2006 dan tahun lalu, kita menang Piala Malaysia. Saya yakin, kita juga mampu menjulang Piala FA, Sabtu ini," katanya semalam.

Mohamad turut meminta semua peminat skuad Hoben Jang Hoben hadir memberikan sokongan kepada Negeri Sembilan dan pada masa yang sama menjaga disiplin di stadium.
KOSMO! 8 April 2010

No comments:

Post a Comment